Tuesday, May 20, 2014

Definisi dan Makna Tulisan Jawi

Tulisan Jawi (توليسن جاوي), juga dipanggil Yawi di Pattani. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tulisan Jawi bermaksud tulisan yang menggunakan huruf Jawi. Manakala huruf Jawi bermaksud huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Tulisan Jawi merupakan salah satu daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga dijadikan sistem tulisan alternatif di Malaysia. Dari segi penggunaannya, tulisan Jawi dahulunya merupakan abjad piawai bahasa Melayu tetapi sudah diganti oleh abjad Rumi, maka penulisan Jawi hanya terhad kepada kegunaan keagamaan dan kebudayaan. Penulisan Jawi seharian dipelihara di kawasan-kawasan yang diduduki masyarakat Melayu yang lebih konservatif, misalnya Sulu di Filipina, Pattani di Thailand, Kelantan di Malaysia dan beberapa kawasan petempatan Melayu di Indonesia.

Tulisan Jawi digunakan di Batu Bersurat Terengganu, menunjukkan pengaruh Islam di Tanah Melayu. Tulisan Jawi adalah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi Negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.
 

Tulisan Melayu huruf Arab ini telah digunakan sejak kedatangan Islam di Nusantara dikenali dengan nama tulisan “Jawi”. Nama “Jawi” merupakan kata adjektif perkataan “Jawah” yang berasal daripada bahasa Arab. Berkemungkinan besar perkataan “Jawi” atau “Jawah” ini berasal daripada perkataan “Javadwipa”, iaitu nama bagi sebuah daerah di Asia Tenggara pada zaman purba.

Ini dibuktikan dengan catatan oleh Ibnu Battutah dalam bukunya al-Rihlah yang menggelar Sumatera sebagai al-Jawah. Orang Arab hanya mengambil bahagian kata “Java” yang digunakan bagi merujuk seluruh Asia Tenggara, manakala kata “dwipa” ditinggalkan.

Oleh itu, kata “Jawah” atau “Jawi” bukan sahaja merujuk pada orang Jawa, iaitu penduduk yang berasal dari Tanah Jawa, tetapi merujuk pada semua bangsa dan kaum peribumi Asia Tenggara termasuklah seluruh rumpun bangsa Melayu, Aceh, Banjar, Bugis, Campa, Jawa, Lombok, Mandailing, Minangkabau, Patani, Sunda, Filipina dan lain-lain.

Oleh sebab itu, kebanyakan ulama dari Asia Tenggara sering menggunakan kata “al-Jawi” di hujung nama mereka sekalipun berlainan suku bangsa seperti Syeikh Abdul Samad al-Palembani al-Jawi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani al-Jawi, Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi dan ramai lagi.

Kini, istilah “tulisan Jawi” dikenali di Malaysia, Singapura, Selatan Thai dan Brunei Darussalam, manakala di Indonesia tulisan ini dikenali sebagai “tulisan Melayu huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”. Pada zaman kegemilangannya, tulisan Jawi telah digunakan secara meluas oleh orang Melayu dalam pelbagai bidang penulisan dan kesenian. Banyak bukti sejarah yang menunjukkan tulisan Jawi telah digunakan sekian lama.

1 comment:

  1. Semarak Jawi
    http://typophile.com/node/74436
    Selamat Maju Jaya

    ReplyDelete