Tuesday, May 20, 2014

Kaedah Pengajaran Jawi


 

a) Pandang sebut

Kaedah ini amat popular dalam pengajaran bacaan jawi. Ia melibatkan dua aktiviti iaitu membunyikan perkataan atau suku kata berdasarkan gambar dan membunyikan ayat berdasarkan gambar yang ada cerita. Aktiviti ini adalah untuk membiasakan murid untuk mengecam perkataan atau ayat dan tidak mengejanya. Melalui kaedah ini , murid akan dilatih bagaimana untuk mengenali sesuatu perkataan tanpa mengejanya terlebih dahulu melalui latih tubi. Kaedah ini lebih praktikal kerana ianya memendekkan masa untuk mengeja perkataan serta murid boleh memberikan tumpuan kepada perkataan atau ayat yang bermakna. Walaupun begitu kaedah ini tidak memfokuskan kepada pengajaran bunyi huruf .

Cadangan aktiviti pengajaran:

i) Guru menunjukkan gambar dahulu kemudian murid akan menyebut perkataan yang ditulis pada kad imbasan secara beramai-ramai dengan bimbingan guru.

ii) Langkah seterusnya diikuti dengan membaca perkataan atau ayat tersebut daripada buku teks. Tiada cerakinan dibuat terhadap perkataan tersebut.

iii) Setelah murid-murid menguasai perkataan tersebut, barulah diperkenalkan kumpulan huruf yang membentuk perkataan berkenaan dengan menggunakan kad-kad perkataan.

b) Kaedah huruf (abjad)

Kaedah ini merupakan kaedah asas membaca yang paling tua yang paling digunakan untuk mengajar membaca dalam kalangan kanak-kanak. Daripada cantuman huruf-huruf, murid akan diperkenalkan pula bunyi-bunyi atau suku kata yang digabungkan menjadi perkataan. Pengajaran membaca wacana akan dimulakan setelah murid menguasai bunyi-bunyi perkataan dalam ayat-ayat. Kaedah ini membolehkan mereka mengeja dan dapat membaca semua perkataan kerana asas bacaan ialah bunyi setiap huruf yang membentuk perkataan tersebut. Kelemahan kaedah ini ialah akan melambatkan proses pemahaman kerana mereka banyak menghabiskan masa untuk mengeja setiap perkataan.

Cadangan aktiviti pengajaran :

i) Guru memperkenalkan kesemua huruf jawi sebanyak 37 huruf.

ii) Kemudian dikuti huruf-huruf vokal kemudian baru diikuti oleh huruf konsonan. Huruf konsonan

iii) Kemudian digabung dengan huruf vokal untuk membentuk bunyi dalam suku kata seterusnya digabung suku kata untuk menjadi perkataan.

c) Kaedah bunyi (fonetik)

Merupakan kaedah asas membaca yang menekankan hubungan hubungan simbol dengan bunyi. Kaedah ini amat sesuai untuk mengajar kanak-kanak yang baharu mengenal huruf jawi kerana ianya tidak membebankan memori mereka. Kaedah ini memerlukan murid itu bersedia lebih awal seperti mengetahui bunyi-bunyi huruf, boleh menyebutnya dengan baik serta dapat mengingatinya dalam tempoh yang lama. Teknik-teknik yang boleh digunakan dalam kaedah ini adalah menggunakan asiosasi bunyi dan asiosasi gambar. Melalui teknik asiosasi bunyi dan gambar ini, murid dapat mengingat dan di samping itu guru tidak perlu mengenalkan semua bunyi sekaligus tetapi memadai bunyi-bunyi asas dahulu. Bunyi huruf vokal perlu diperkenalkan terlebih dahulu baharu memperkenalkan bunyi huruf-huruf konsonan yang senang kemudian yang lebih susah.

Cadangan Aktiviti:

i) Contoh asiosasi bunyi ; untuk membunyikan ‘aa’ guru boleh mengaitkannya dengan beberapa peristiwa yang berlaku dalam persekitaran murid seperti terkena makanan panas iaitu melalui jeritan aaaa panasnya! Bunyi “ee’ dikaitkan dengan rasa geli geli dan jijik melihat kotoran iaitu eeee kotornya.. Bunyi “oo’ boleh dikaitkan dengan tanda setuju oooo macam tu…

ii) Manakala asiosasi gambar pula, guru boleh menggunakan gambar ayam untuk bunyi ‘aa’ gambar emak untuk ‘ee’ dan sebagainya.

d) Mengeja /Membatang

Membatang suku kata bermaksud murid mengeja dengan menyebut satu demi satu huruf yang membentuk suku kata. Terdapat banyak cara yang boleh digunakan oleh guru bagi tujuan ini.

Cadangan aktiviti:

i) Guru menunjukkan huruf-huruf seperti ba, alif,jim,wau

ii) Guru meminta murid mengeja atau membunyikan huruf tersebut secara kelas, kumpulan dan individu.

iii) Guru menggabungkan suku kata yang dieja supaya menjadi perkataan dan meminta murid mengejanya. Seperti ba +ju=baju

iv) Guru meminta murid menulis perkataan yang dibentuk.

e) Imla’

Imla’ bermaksud pembacaan dengan suara yang lantang sesuatu sumber( perkataan,frasa dan ayat) untuk ditulis orang lain. Ia Melibatkan dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar dan menulis secara mekanis. Menulis secara mekanis dalam imla’ ialah menyalin unit bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat dan wacana. Antara kebaikannya murid dapat menggunakan kemahiran mendengar dengan jelas dan dapat melatih pendengaran pada sebutan intonasi perkataan dan ayat.

Cadangan aktiviti:

i) Guru membaca dengan kuat dan jelas perkataan atau ayat-ayat pendek. Guru digalakkan untuk mengulang sebutan supaya murid tidak keliru.

ii) Murid mendengar dengan teliti kemudian mengejanya dengan lisan atau menulisnya dalam buku latihan.

f) Latih tubi

Latih tubi adalah aktiviti pengulangan fakta atau kecekapan yang dipelajari. Teknik ini dikenali dengan teknik menghafaz. Kekuatan kaedah ini murid dapat mencapai taraf penguasaan kemahiran disamping menjamin kekekalannya.

Cadangan aktiviti:

i) Guru terlebih dahulu membaca perkataan dalam tulisan jawi secara berulang-ulang kali.

ii) Kemudian murid dikehendaki membaca secara berulang kali dalam bentuk kelas ,kumpulan dan individu.

iii) Selepas itu, murid dikehendaki menulis perkataan tersebut di dalam buku latihan sebagai pengukuhan.

g) Permainan

Belajar sambil bermain merupakan satu kaedah atau teknik yang baik untuk melatih murid sebagai seorang manusia dan menjadikan pengajaran di sekolah lebih menarik dan praktis. Murid akan memperolehi pembelajaran yang paling berkesan sekiranya mereka mempelajari sesuatu yang sesuai dengan minat, tujuan dan faedah mereka. Kaedah ini dapat mengembangkan banyak kemahiran murid seperti psikomotor, sosial, interaksi dan komunikasi. Sesuai untuk pringkat rendah. Contoh kaedah permainan bagi Huruf Tunggal ialah permainan boling, Tenteng , Main kad dan Kereta api. Manakala contoh permainan bagi Kemahiran Suku kata ialah Sahibba dan pancing ikan

Cadangan Aktiviti Pengajaran:

i) Persediaan sebelum iaitu pilih permainan yang sesuai dan sediakan alatan yang sesuai beserta dengan peraturannya.

ii) Perlaksanaaan: Murid memulakan permainan setelah diberi penerangan oleh guru. Guru membimbing dan mengawas dan menilai hasil permainan serta mengisytihar pemenangnya.

iii) Selepas permainan: Guru mengadakan perbincangan dengan murid dan membuat rumusan. Setelah itu murid mengemaskan alatan permainan.

h) Nyanyian/nasyid:

Antara kaedah yang sangat menarik dan berkesan dalam pengajaran jawi ialah kaedah dan teknik nyanyian atau nasyid. Murid peringkat sekolah rendah sangat suka menyanyi. Selaras dengan minat mereka, pengajaran jawi boleh disampaikan dengan cara menyanyi lagu yang sesuai supaya murid dapat mengingati huruf-huruf jawi ,mengeja perkataan dan sebagainya. Contohnya lagu ‘Rasa Sayang Jawi”.

Cadangan aktiviti:

i) Guru menayangkan senikata lagu dan memdengarkan lagu tersebut kepada murid secara berulang-ulang.

ii) Guru menyanyi bersama dengan murid secara kelas, kumpulan dan invididu.

iii) Setelah selesai bernasyid guru boleh berbincang berkait dengan isi nasyid yang dinyanyikan itu.

iv) Murid dikehendaki menulis lirik lagu tersebut dalm tulisan jawi sebagai pengukuhan.

i) ADD dan MDD

Akhbar Dalam Darjah dan Majalah Dalam Darjah adalah antara kaedah atau teknik yang paling berkesan dalam pengajaran jawi untuk murid sekolah rendah tahap dua. Akhbar Utusan Malaysia biasanya mengadakan akhbar sisipan bertulisan jawi satu kali dalam seminggu. Ianya banyak membantu guru dalam pengajaran. Dalam akhbar itu sendiri telah menyediakan latihan yang sesuai untuk digunakan murid-murid sekolah rendah. Selain itu juga guru juga boleh menggunakan keratan berita yang ada di akhbar untuk ditulis semula dalam tulisan jawi atau tulisan jawi dirumikan. Murid bukan sahaja mendapat kemahiran menulis jawi tetapi juga mendapat ilmu pengetahuan dan maklumat yang ada dalam akhbar atau majalah tersebut. Mereka juga boleh membuat projek buku skrap menggunakan ADD atau MDD.

Cadangan aktiviti Pengajaran:

i) Guru mencari akhbar-akhbar yang bersesuaian untuk digunakan oleh murid.

ii) Guru menyuruh murid mencari berita yang menarik dalam akhbar untuk ditukarkan ke dalam tulisan jawi atau dari jawi kepada tulisan rumi.

iii) Murid diminta untuk saling bertukar hasil kerja dengan kawan-kawan dan menyemak hasil kerja kawan-kawan.

iv) Guru membuat pembetulan jika ada kesilapan. Guru membuat rumusan.

4 comments:

  1. Sangat membantu dan menambah ilmu pengetahuan. Alhamdulillah. Berbanyak terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. sangat membntu terima kasih..

    cadangan saya: sertakan sekali contoh video pengajaran agar para guru baharu dapat memahami dengan lebih jelas.

    ReplyDelete